Bila "Sabar Je" Bukan Lagi Jawapan
"Alah... budak budak je."
Ya, memang budak budak.
Tapi jangan buat main dengan budak budak zaman sekarang.
Baru baru ini, ada kes pelajar tikam rakan di sekolah.
Boleh ke kalau kita nak jawab, "Alah... budak budak je." Tak kan? Ini melibatkan keselamatan. Adakah keselamatan sesuatu yang remeh?
Mungkin dia orang masih kecil pada pandangan kita, tapi apa yang dia orang rasa bukan perkara kecil.
Sebab itu jangan pernah anggap apa yang anak cerita sebagai perkara remeh.
Bukan semua luka nampak pada badan. Tapi ada yang simpan dalam hati.
Dah banyak kali aku cakap kat anak aku, "sabar je lah".
Bukan sekali dua, tapi lebih dan sangat lebih. Sampai satu hari aku terfikir....
Kalau aku asyik suruh dia bersabar, maknanya dah banyak kali juga aku ketepikan emosi dia.
Mungkin cerita dia orang nampak tak penting sebab dia orang tak pandai susun ayat macam orang dewasa, tapi isi cerita tu yang penting. Perasaan anak aku ketika itu. Perasaan si dia juga ketika itu. Budak budak pun ada perasaan.
Aku masih akan ajar anak aku untuk bersabar tapi dia jugak perlu tahu, sabar bukan bermaksud diam selama lamanya. Dan menjadi baik bukan bermaksud terima dan memaafkan.
Kadang kadang, anak bukan hanya perlukan nasihat semata. Dia orang perlukan ibu bapa yang percaya, yang tidak memandang ringan perasaan dia orang, dan yang sanggup bersuara apabila dia orang perlukan pembelaan.
Biar orang kata aku terlalu risau, terlalu masuk campur, atau terlalu melindungi.
Aku lebih rela jadi ibu yang bertindak, daripada jadi ibu yang hanya sedar selepas semuanya terlambat.
Sebab tugas ibu bukan hanya ajar anak untuk kuat, tapi pastikan anak tahu, bila dia rasa dah tak kuat... ada ibu yang akan ada di belakang dia.
Comments
Post a Comment